Sunday, January 30, 2011

KASUT...

Saya merupakan anak jati utara yang dilahirkan di Kedah. Saya telah menemui satu kesalahan bahasa yang lazimnya dituturkan oleh orang Kedah iaitu penggunaan kosa kata KASUT. Di utara,lazimnya penggunaan perkataan ini digunakan untuk semua jenis benda yang dijadikan alas kaki contohnya seperti selipar, sepatu, terompah dan lain-lain. Tetapi penjenisan dibuat berdasarkan kriteria kasut itu sendiri contohnya terompah dipanggil dengan nama kasut kayu, selipar pula lazimnya dipanggil dengan nama selipar Jepun. Malahan saya sendiri jika berada di kampung terpaksa menggunakan kosa kata ini kerana sekiranya saya menggunakan kosa kata selipar, sahabat-sahabat saya akan merasakan suatu kelainan.

KAKI AYAM

Baru-baru ini saya pergi menunaikan solat jumaat di masjid Tanjung Malim. Seperti kebiasaannya saya akan meletakkan selipar di tepi masjid. Tapi apabila selesai menunaikan solat, selipar saya sudah tidak ada di tempat asalnya. Dalam kesesakan orang ramai, saya berpusing-pusing mencari selipar saya. Saya akhirnya membuat keputusan untuk menunggu sehingga semua orang pulang terlebih dahulu untuk melihat lebihan selipar yang ada. Akhirnya saya ditinggalkan dengan sepasang selipar yang talinya sudah terputus. Di tengah panas terik mentari, saya terpaksa pulang dengan berkaki ayam.

ULASAN
 Sekiranya kita di dalam kesempitan, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan menganiaya orang lain. Setiap ujian yang datang dari-Nya hendaklah diatasi dengan sebaik sabar kerana itu sebahagian daripada iman.

Thursday, January 27, 2011

TEPUK TANGAN

Kita biasanya akan menepuk tangan apabila menghargai sesuatu ataupun untuk menunjukkan kegembiraan. Tapi tahukah kita tujuan dan hukum apabila bertepuk tangan. Saya akan menjelaskannya mengikut perspektif Islam. sebenarnya perbuatan ini makruh disisi agama Islam. Kedua-dua perbuatan ini dilakukan oleh kaum Arab Jahiliah dengan maksud ‘ibadah’ mereka di dalam ritual di keliling Kaabah. Ia dicela oleh Allah SWT, di samping tawaf jelek yang mereka lakukan dalam keadaan bertelanjang seperti keterangan Ibn ‘Abbas..Oleh itu sedarlah rakan-rakan, lebih baik kita menggunakan alternatif lain untuk menghargai sesuatu contohnya seperti menyebut alhamduliilah dan sebagainya.

Tuesday, January 25, 2011

Si Buta

Baru-baru ini saya ke Kuala Lumpur untuk mengunjungi Perpustakaan Negara. Ketika sampai di suatu kawasan lampu isyarat, satu peristiwa berlaku. Saya melihat ada seorang tua yang buta ingin melintas jalan. Ketika lampu hijau untuk pejalan kaki bernyala, masing-masing melintas jalan. Tiba-tiba kaki orang tua tersebut tersadung bahu jalan lalu terjatuh di atas jalan. Masing-masing pada mulanya hanya melihat reaksi orang tua itu yang terkial-kial seorang diri. Saya dan kawan yang begitu tersentuh hati terus menuju ke situ untuk membantu.

Pandangan..


Dalam mengecapi nikmat kemajuan kota yang melimpah-ruah, unsur modal insan kurang dipedulikan. Saya begitu terkilan dengan sikap sesetengah masyarakat yang hanya sibuk membuat hal masing-masing tanpa menghiraukan nasib segelintir daripada masyarakat yang kurang bernasib baik..

Sunday, January 23, 2011

LUCU...

Ternyata kain rentang ini memang mencuit hati saya. Tidak sepatutnya pihak penganjur yang mengeluarkan kain rentang ini melakukan kesilapan demikian rupa memandangkan majlis yang diiklankan adalah majlis besar iaitu Forum Perdana apatah lagi anjuran pemuda Umno. Kadang-kadang saya terpikir adakah kesilapan ini berlaku akibat daripada pihak kedai ataupun pihak yang menginginkan iklan ini dibuat??

Thursday, January 20, 2011

bahasa apa??


Keliru...Hanya itu yang mampu diungkapkan..Bahasa apa yang digunakan ini. Hendak kata Inggeris pun tidak, Melayu pun tidak juga. Sedangkan ini adalah sebuah kedai fotastat, kedai di mana tempat bahan-bahan ilmiah di fotokopi. Saya mengambil gambar ini di Pekan , Pahang ketika mengunjungi rumah datuk saya baru-baru ini.