Friday, February 18, 2011

Bahasa Rojak..







Perbincangan kali ini berkisar mengenai bahasa rojak. Saya terdengar ada pihak yang tidak senang dengan langkah RTM mengharamkan lagu-lagu yang liriknya mengandungi bahasa rojak. Persatuan Karyawan Malaysia menyifatkan perkara ini masalah kecil. Jika diteliti, ini bukan perkara kecil. Saya berpendapat jika RTM betul-betul hendak menghapuskan bahasa rojak ia hendaklah melakukannya bersungguh-sungguh meliputi segala-galanya, bukan hanya lirik lagu.

Dialog drama serta bahasa yang digunakan oleh pengulas-pengulasnya dalam semua rancangan termasuk ulasan sukan hendaklah bebas seratus peratus daripada `rojak.' Begitu juga mereka yang mengambil bahagian dalam apa juga rancangan RTM. Malangnya, saya masih terdengar pembaca berita RTM masih lagi menggunakan "di kalangan" walaupun yang sebetulnya adalah "dalam kalangan".

Jika tidak dikawal, rakyat Malaysia akan lemah bahasa Melayu dan juga lemah bahasa Inggeris, tapi kuat dalam bahasa rojak. Orang yang guna bahasa rojak sebenarnya tidak menguasai bahasa Melayu dan tidak menguasai bahasa Inggeris. Untuk mengetahui apa yang cuba saya perkatakan ini, tengoklah berita-berita TV apabila orang biasa dan VIP bercakap.

Masalahnya, tidak kurang pula yang memang lebih suka menggunakan bahasa Inggeris walaupun lintang-pukang. Fikir-fikirkanlah....

BIADAP ATAU BERGURAU

Anda mesti ada terdengar desas-desus mengenai artis kegemaran anda iaitu Noh Hujan mengenai sikap biadapnya baru-baru ini. Ikon remaja kini yang membawa lagu berentak indie ini merupakan anak muda yang berasal daripada sarawak. Beliau juga merupakan salah seorang mentor dalam rancanagan realiti tv yang semakin diminati ramai.


Kurang sopan dan tidak tahu hormat orang lain, itu antara nista yang dilemparkan kepada ahli kugiran itu. Noh Hujan pernah dituduh biadap hanya kerana corak komunikasinya pernah disalah tafsir.
Contoh terdekat, butir bicara penyelenggara kumpulan Hujan, Noh, 26, pernah menyebabkan hati seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta terguris. Noh didakwa mengeluarkan ayat ‘Awak busuk’ kepadanya pada sebuah majlis sekitar Jun lalu.




Noh bagaimanapun menganggap niatnya ketika itu sekadar ingin bergurau tambahan pula luarannya, dia merupakan individu gemar bercanda. Sejujurnya, tidak pernah sesekali terlintas di minda Noh untuk merendahkan martabat wanita itu di depan orang lain.
Itulah yang dikatakan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kita mesti ingat, dalam pergaulan seharian, kita hendaklah berfikir sebaik mungkin sebelum sesuatu bicara itu diluahkan. Pepatah juga ada mengatakan bahawa 'lidah itu lebih tajam daripada pedang'. Jadi waspadalah supaya lidah anda tidak menghiris sesiapa.

Melayu vs Indonesia

Memandangkan sekarang ini aktiviti perfilemen di Malaysia telah banyak dipengaruhi oleh filem-filem Indonesia, saya telah membuat satu kajian mengenai perbezaan diantara bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia. hal yang demikian akan memudahkan anda selaku peminat filem Indonesia untuk memahami perbualan artis pujaan anda.
Antara kedua-dua bahasa tersebut, wujud beberapa jenis perbezaan.antaranya ialah :


1. Ejaan/ucapan satu huruf sahaja berbeza.

beza - beda
cuba - coba
rosak - rusak
muzik - musik
rasmi - resmi
salji - salju
bahawa - bahwa
kerana - karena

2. Ditambahkan huruf "h" (dan tambahannya) dalam bahasa Malaysia.

sahaja - saja
bahagi - bagi
mahu - mau

3. Perkataan yang digunakan dalam bahasa Indonesia juga, tetapi pergunaannya berbeza.

boleh - bisa
sejuk - dingin
dingin - sejuk
senang - gampang/mudah
bila - kapan
sesuatu - suatu
cukai - pajak
wujud - ada
sedap - enak
selamat - aman
kawan - teman
hadapan - depan
lepas - yang lalu
selepas - setelah
tak - gak/nggak
tengok - lihat
nampak - kelihatan
tunjuk ajar - mengajarkan
adakah - apakah
ialah - adalah
masa - waktu
saat - ditik
faham - mengerti
gunakan(menggunakan) - pakai(memakai)
pun - juga
tolak - dorong/dikurangi
cakap - bilang/bicara
pejabat - kantor
duduk - tinggal/duduk
ayat - kalimat
kacau - ganggu

4. Perkataan yang jarang digunakan atau mungkin tidak berwujud dalam bahasa Indonesia.

seronok - menarik
tahniah - selamat
cikgu - guru
tahap - tingkatan
perkara - hal
tandas - WC
patut - harus
kerap - sering
semak - lihat kembali (?)
kasut - sepatu
kilang - pabrik
sila - silakan
sentiasa/senantiasa - selalu
awak - kamu
tarikh - tanggal
hari bulan - tanggal
syarikat - perusahaan
cadangan - proposal


Sekian sahaja untuk kali. Kepada mereka-mereka yang meminati sinetron Sejuta Cinta Marshanda, anda wajar berterima kasih kepada saya....

BAHASA SARAWAK

Bahasa Sarawak memang unik kerana mempunyai banyak ayat dan perkataan yang berlainan daripada BM namun ianya agak mudah dipelajari.




Tapi pernahkah kamu perasan kadang-kadang orang Sarawak boleh tersasul bila bercakap dalam BM dengan mencampur-adukkan ayat bahasa Sarawak? Benda ni selalu terjadi kepada Sarawakian terutamanya abila sedang berbual-bual dengan orang semenanjung. Jadi, saya akan bagi beberapa contoh ayat yang biasa yang dikesan semasa kejadian tersasul ini supaya kamu tidak kekok bila mendengarnya. 

Contoh pertama:
Sebutik = Satu lagi
Tapok = Sembunyi

Contoh ayat:
Baruk hari sebutik ya Amir makan sup jerin sambil bertapok.
(Baru hari satu lagi tu Amir makan sup jering sambil bersembunyi.)




Wednesday, February 16, 2011

Kepentingan penggunaan bahasa yang betul

Kesalahan bahasa bukanlah satu isu yang baharu tetapi satu isu yang telah lama dibicarakan. Jika kita lihat, banyak kesalahan bahasa yang boleh kita temukan dalam bahan-bahan terbitan. Sebagai rakyat Malaysia, sudah sampai masanya untuk kita memperjuangkan bahasa kita sendiri. Adakah sesuatu yang amat sukar untuk kita menggunakan bahasa yang betul dari segi hukum tatabahasanya? Tidak malukah kita jika suatu hari nanti kita ditegur oleh pelancong yang fasih berbahasa Melayu kerana kesalahan bahasa yang kita lakukan?

Banyak antara kita yang beranggapan bahawa kita telah menguasai bahasa Melayu dengan baik. Hal ini demikian kerana sejak kecil lagi kita telah bercakap dalam bahasa Melayu dan belajar bahasa Melayu sejak di bangku sekolah rendah. Jadi, kealpaan dalam menguasai bahasa yang baik terus berlaku. Ada juga yang beranggapan bahawa penguasaan dari aspek tatabahasa kurang penting. Oleh sebab itu, banyak dapat kita temukan kesalahan bahasa dalam penulisan sama ada artikel, berita, rencana, papan tanda, surat dan sebagainya.





Adakah kita mahu perkara itu terus berlaku tanpa ada penghujungnya? Pasti jawapannya tidak, bukan? Sebagai rakyat Malaysia yang mengakui bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, kita harus memainkan peranan kita dengan membetulkan kesalahan bahasa yang selama ini kita abaikan.


Adakah penggunaan bahasa yang betul begitu penting dalam penulisan? Soalan ini mungkin muncul dalam kotak fikiran kita apabila isu penggunaan bahasa yang betul ditimbulkan. Sebenarnya, dalam penulisan sesuatu sama ada karya, rencana, berita atau surat sekali pun bahasa boleh diibaratkan sebagai senjata untuk seseorang menyampaikan hasrat dan pemikiran mereka. Pemilihan kata-kata yang baik pasti dapat mengangkat martabat sesuatu hasil penulisan dan memantulkan keperibadian seseorang yang menulis hasil atau bahan penulisan tersebut.
Jadi, sebagai rakyat Malaysia yang telah mempelajari bahasa Melayu sejak kecil lagi, aspek ejaan, penggunaan huruf besar dan huruf kecil, ‘di’ dan ‘ke’ yang didekatkan atau dijauhkan merupakan perkara asas dalam penulisan bahasa Melayu yang perlu dijaga. Dalam sesuatu pekerjaan yang melibatkan penulisan, anda sepatutnya tidak boleh bertolak ansur untuk membiarkan kesalahan seumpama ini terus berlaku dalam penulisan anda.
Pada pendapat saya, apabila seseorang itu menulis dengan cermat dan menjaga aspek ejaan dan tatabahasa, orang tersebut sebenarnya menulis dalam keadaan sedar dan mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap perkara yang ditulisnya. Hal ini bermaksud apabila seseorang itu menulis dengan menggunakan bahasa yang betul, maka martabatnya akan dipandang lebih tinggi.
Selain itu, penggunaan bahasa yang betul juga dapat membantu orang ramai terutamanya para pelajar dalam meningkatkan penguasaan bahasa mereka dan seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam. Hal ini juga dapat membantu para pelajar mendapatkan tempat di universiti awam kerana pada masa ini keputusan cemerlang dalam subjek Bahasa Malaysia menjadi prasyarat dalam kemasukan pelajar ke pusat-pusat pengajian tinggi. Tambahan pula penggunaan bahasa yang betul turut menghapuskan kekeliruan dan salah faham pembaca.
Jadi, mulai hari ini marilah kita menggunakan bahasa yang betul dalam penulisan kita. Pelajarilah bahasa kita dan cintailah bahasa kita.

Monday, February 14, 2011

PELAJAR BIADAP...

Baru-baru ini,kawan aku yang baru menjadi guru di Sarawak pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti sekolah. Apabila kami keluar untuk minum di kedai mamak, dia men ceritakan tragedinya bergelar seorang guru yang membuatkan aku sendiri takut untuk bergelar guru.
Dia merupakan seorang yang mudah ‘masuk’ dengan suasana dan tempat baru. Bila cikgu-cikgu kata di sekolah baru ku ini pelajar-pelajarnya nakal, dia hanya bertindak optimis dengan mengatakan mana-mana sekolah pun ada ramai pelajar nakal.
Tetapi, dia tidak menjangka akan berhadapan dengan pelajar yang bersikap biadap.untuk kali pertama dalam karier dia sebagai seorang guru, dia tercabar dengan sikap pelajar yang berani menengkingnya dan memaki hamunnya dengan kata-kata kesat sambil tangan menuding-nuding kepada dia atas sebab rakan aku menegurnya (bukan sekali, tapi berkali-kali) kerana bercakap dan meniru dalam ujian. Tindakan biadap pelajar itu membuatkan rakan aku menghalaunya keluar dari kelas.
itu adalah pengalaman pertama dia berhadapan dengan pelajar biadap..  Ada lagi seorang pelajar kelas tingkatan satu yang diceritakannya, seorang yang panas baran. Budak itu suka ponteng kelas dan mengganggu P&P, tidak buat kerja yang diberikan dan tidak pernah beri perhatian.. Bila kena tegur, dia tidak puas hati seolah-olah dia sahaja yang dipersalahkan (sedangkan pelajar lain juga diberi teguran yang sama, denda yang sama). Dia akan mencari setiap kesalahan cikgu - baru-baru ini, dia bangun, berdiri rapat mengadap rakan aku dengan pandangan penuh ancaman setelah rakan aku menegurnya tidak membuat kerja yang disuruh seolah-olah nak bertumbuk dengan aku! alangkah biadapnya! Rakan aku mendudukkan budak ini ditempatnya, tetapi mulutnya menyumpah seranah dan memaki hamun rakan aku dengan kata-kata kesat!
sememangnya kes-kes seperti itu akan diambil tindakan oleh sekolah, namun, perkara ini akan sering sangat berlaku sehinggakan ramai guru terpaksa membiarkan sahaja sikap biadap mereka untuk tidak memberi tekanan kepada diri sendiri.. kalau kita ambil tindakan sendiri, mulalah budak-budak ni mencabar kita kembali dengan merosakkan harta sekolah atau guru berkenaan. 
Tidak kurang yang memberi amaran kembali kepada guru yang mereka akan laporkan kepada ibu atau bapa, polis, nak saman cikgu.. rasanya diorang ni belajar dari tv dan akhbar yang suka sangat mensensasikan kes-kes ibu bapa yang suka menyaman cikgu. seolah-olah cikgu seorang yang kejam dan suka mencederakan budak tanpa sebab. 

Kepada rakan-rakan yang bakal bergelar guru, adakah anda sedia untuk menghadapi semua ini? Walau apapun, kuatkanlah diri, tabahkan hati, demi mencari sesuap nasi dan berkhidmat untuk nusa dan bangsa tercinta.

BAHASA KAWALAN GERAKAN

Sepertimana yang telah diketahui melalui pandangan dan penyelidikan para ilmuan dunia, bahasa merupakan satu medium komunikasi. Apa yang ingin dibincangkan disini bukanlah berkaitan dengan takrif bahasa, namun lebih kepada penerokaan terhadap kesan bahasa terhadap gerakan.
Kesan bahasa terhadap gerakan ini bermaksud kesan yang diakibatkan oleh penggunaan bahasa-bahasa tertentu, dalam situasi-situasi tertentu, dan terhadap orang-orang tertentu. Adalah penting bagi setiap individu menjaga setiap tutur kata yang akan dikeluarkan agar tutur kata yang dikeluarkan tidak menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak diingini. Dengan erti kata yang lain, kawalan terhadap pertuturan itu amat penting dalam membina keadaan yang dapat memuaskan hati setiap pihak yang terlibat dalam pertuturan yang berlaku. sekiranya terdapat tutur kata yang kurang disenangi oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam pertuturan yang dijalankan, maka tidak mustahil akan berlaku perang mulut yang akan membawa kesan negatif terhadap komunikasi yang dijalankan.
Berbalik kepada makna bahasa, bahasa sepatutnya menjadi medium komunikasi yang berkesan dalam membina keadaan yang bersifat positif. Keadaan yang bersifat positif pula boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak memberi tekanan ataupun mendatangkan keburukan yang akan mencetuskan suasana yang tidak harmoni semasa menjalankan sesebuah komunikasi. Oleh itu, dapat dilihat betapa pentingnya menjaga ayat yang hendak digunakan semasa berkomunikasi agar dapat mengelakkan suasana yang tegang.
Memilih ayat yang hendak dituturkan bukan satu perkara yang sukar untuk dilakukan. Mengapa dikatakan tidak sukar? Jikalau masyarakat Timur dikatakan sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, maka begitu juga halnya dengan masyarakat Malaysia. Malah, masyarakat Malaysia seharusnya lebih bijak dalam memilih tutur kata yang sesuai semasa berkomunikasi dengan pihak lain kerana didikan dari pihak keluarga berkenaan adat dan juga budaya mustahil boleh dikatakan kurang kerana latar belakang masyarakat Malaysia yang masih teguh berpegang pada adat dan budaya, kemungkinan untuk mendapat didikan adat dan budaya yang kurang adalah agak mustahil.
Namun, jika dilihat keadaan Malaysia pada hari ini, gejala kurang adat dan budaya semasa berkomunikasi seakan-akan semakin berleluasa dalam kalangan muda-mudi. Semakin jarang didengari kata sapaan yang indah, yang melambangkan adanya nilai ketimuran dalam diri muda-mudi kini. Sering kedengaran kata sapaan seperti "woi", jarang pula digunakan kata sapaan seperti "apa khabar".
Melalui kata sapaan yang kurang sopan inilah sering membuatkan sesetengah pihak "kecil hati" kerana merasakan tiadanya rasa hormat daripada si penyapa. Malahan, tidak mustahil si penyapa itu akan diberi penampar sekiranya kata sapaan "woi" itu digunakan untuk menyapa ketua keluarganya di rumah.
Jika dilihat pada situasi ini, jelas sekali menggambarkan bahawa kata-kata itu mampu menggerakkan otot-otot seseorang bertindakbalas secara spontan. Walhal, cuma sekadar perkataan yang keluar dari mulut akibat dari kebiasaan yang akhirnya memakan diri sendiri. Oleh itu, beringatlah sebelum kena, berfikirlah sebelum mengeluarkan bicara agar tiada siapa yang akan terasa.