Monday, February 14, 2011

BAHASA KAWALAN GERAKAN

Sepertimana yang telah diketahui melalui pandangan dan penyelidikan para ilmuan dunia, bahasa merupakan satu medium komunikasi. Apa yang ingin dibincangkan disini bukanlah berkaitan dengan takrif bahasa, namun lebih kepada penerokaan terhadap kesan bahasa terhadap gerakan.
Kesan bahasa terhadap gerakan ini bermaksud kesan yang diakibatkan oleh penggunaan bahasa-bahasa tertentu, dalam situasi-situasi tertentu, dan terhadap orang-orang tertentu. Adalah penting bagi setiap individu menjaga setiap tutur kata yang akan dikeluarkan agar tutur kata yang dikeluarkan tidak menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak diingini. Dengan erti kata yang lain, kawalan terhadap pertuturan itu amat penting dalam membina keadaan yang dapat memuaskan hati setiap pihak yang terlibat dalam pertuturan yang berlaku. sekiranya terdapat tutur kata yang kurang disenangi oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam pertuturan yang dijalankan, maka tidak mustahil akan berlaku perang mulut yang akan membawa kesan negatif terhadap komunikasi yang dijalankan.
Berbalik kepada makna bahasa, bahasa sepatutnya menjadi medium komunikasi yang berkesan dalam membina keadaan yang bersifat positif. Keadaan yang bersifat positif pula boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak memberi tekanan ataupun mendatangkan keburukan yang akan mencetuskan suasana yang tidak harmoni semasa menjalankan sesebuah komunikasi. Oleh itu, dapat dilihat betapa pentingnya menjaga ayat yang hendak digunakan semasa berkomunikasi agar dapat mengelakkan suasana yang tegang.
Memilih ayat yang hendak dituturkan bukan satu perkara yang sukar untuk dilakukan. Mengapa dikatakan tidak sukar? Jikalau masyarakat Timur dikatakan sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, maka begitu juga halnya dengan masyarakat Malaysia. Malah, masyarakat Malaysia seharusnya lebih bijak dalam memilih tutur kata yang sesuai semasa berkomunikasi dengan pihak lain kerana didikan dari pihak keluarga berkenaan adat dan juga budaya mustahil boleh dikatakan kurang kerana latar belakang masyarakat Malaysia yang masih teguh berpegang pada adat dan budaya, kemungkinan untuk mendapat didikan adat dan budaya yang kurang adalah agak mustahil.
Namun, jika dilihat keadaan Malaysia pada hari ini, gejala kurang adat dan budaya semasa berkomunikasi seakan-akan semakin berleluasa dalam kalangan muda-mudi. Semakin jarang didengari kata sapaan yang indah, yang melambangkan adanya nilai ketimuran dalam diri muda-mudi kini. Sering kedengaran kata sapaan seperti "woi", jarang pula digunakan kata sapaan seperti "apa khabar".
Melalui kata sapaan yang kurang sopan inilah sering membuatkan sesetengah pihak "kecil hati" kerana merasakan tiadanya rasa hormat daripada si penyapa. Malahan, tidak mustahil si penyapa itu akan diberi penampar sekiranya kata sapaan "woi" itu digunakan untuk menyapa ketua keluarganya di rumah.
Jika dilihat pada situasi ini, jelas sekali menggambarkan bahawa kata-kata itu mampu menggerakkan otot-otot seseorang bertindakbalas secara spontan. Walhal, cuma sekadar perkataan yang keluar dari mulut akibat dari kebiasaan yang akhirnya memakan diri sendiri. Oleh itu, beringatlah sebelum kena, berfikirlah sebelum mengeluarkan bicara agar tiada siapa yang akan terasa.

No comments:

Post a Comment