Wednesday, February 16, 2011

Kepentingan penggunaan bahasa yang betul

Kesalahan bahasa bukanlah satu isu yang baharu tetapi satu isu yang telah lama dibicarakan. Jika kita lihat, banyak kesalahan bahasa yang boleh kita temukan dalam bahan-bahan terbitan. Sebagai rakyat Malaysia, sudah sampai masanya untuk kita memperjuangkan bahasa kita sendiri. Adakah sesuatu yang amat sukar untuk kita menggunakan bahasa yang betul dari segi hukum tatabahasanya? Tidak malukah kita jika suatu hari nanti kita ditegur oleh pelancong yang fasih berbahasa Melayu kerana kesalahan bahasa yang kita lakukan?

Banyak antara kita yang beranggapan bahawa kita telah menguasai bahasa Melayu dengan baik. Hal ini demikian kerana sejak kecil lagi kita telah bercakap dalam bahasa Melayu dan belajar bahasa Melayu sejak di bangku sekolah rendah. Jadi, kealpaan dalam menguasai bahasa yang baik terus berlaku. Ada juga yang beranggapan bahawa penguasaan dari aspek tatabahasa kurang penting. Oleh sebab itu, banyak dapat kita temukan kesalahan bahasa dalam penulisan sama ada artikel, berita, rencana, papan tanda, surat dan sebagainya.





Adakah kita mahu perkara itu terus berlaku tanpa ada penghujungnya? Pasti jawapannya tidak, bukan? Sebagai rakyat Malaysia yang mengakui bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, kita harus memainkan peranan kita dengan membetulkan kesalahan bahasa yang selama ini kita abaikan.


Adakah penggunaan bahasa yang betul begitu penting dalam penulisan? Soalan ini mungkin muncul dalam kotak fikiran kita apabila isu penggunaan bahasa yang betul ditimbulkan. Sebenarnya, dalam penulisan sesuatu sama ada karya, rencana, berita atau surat sekali pun bahasa boleh diibaratkan sebagai senjata untuk seseorang menyampaikan hasrat dan pemikiran mereka. Pemilihan kata-kata yang baik pasti dapat mengangkat martabat sesuatu hasil penulisan dan memantulkan keperibadian seseorang yang menulis hasil atau bahan penulisan tersebut.
Jadi, sebagai rakyat Malaysia yang telah mempelajari bahasa Melayu sejak kecil lagi, aspek ejaan, penggunaan huruf besar dan huruf kecil, ‘di’ dan ‘ke’ yang didekatkan atau dijauhkan merupakan perkara asas dalam penulisan bahasa Melayu yang perlu dijaga. Dalam sesuatu pekerjaan yang melibatkan penulisan, anda sepatutnya tidak boleh bertolak ansur untuk membiarkan kesalahan seumpama ini terus berlaku dalam penulisan anda.
Pada pendapat saya, apabila seseorang itu menulis dengan cermat dan menjaga aspek ejaan dan tatabahasa, orang tersebut sebenarnya menulis dalam keadaan sedar dan mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap perkara yang ditulisnya. Hal ini bermaksud apabila seseorang itu menulis dengan menggunakan bahasa yang betul, maka martabatnya akan dipandang lebih tinggi.
Selain itu, penggunaan bahasa yang betul juga dapat membantu orang ramai terutamanya para pelajar dalam meningkatkan penguasaan bahasa mereka dan seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam. Hal ini juga dapat membantu para pelajar mendapatkan tempat di universiti awam kerana pada masa ini keputusan cemerlang dalam subjek Bahasa Malaysia menjadi prasyarat dalam kemasukan pelajar ke pusat-pusat pengajian tinggi. Tambahan pula penggunaan bahasa yang betul turut menghapuskan kekeliruan dan salah faham pembaca.
Jadi, mulai hari ini marilah kita menggunakan bahasa yang betul dalam penulisan kita. Pelajarilah bahasa kita dan cintailah bahasa kita.

No comments:

Post a Comment